Jumaat, Februari 12, 2010

Untuk perniagaan mampu milik



ThinkPad X100e menawarkan fungsi terbaik dengan harga cukup berpatutan.


IDEA dan inovasi teknologi yang dibawa oleh syarikat pengeluar komputer terkenal, Lenovo sememangnya tidak pernah mengecewakan.

Hadir untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pengguna, syarikat berkenaan terus mengaplikasikan kejuruteraan pengkomputeran termaju dalam produk-produk keluaran mereka.

Antara yang terbaru adalah pengenalan model ThinkPad X100e dengan tawaran fungsi cemerlang dan harga yang sangat berpatutan iaitu di bawah RM2,000.

Oleh kerana sasaran aplikasinya dari kalangan peniaga dan juga profesional, model itu menggabungkan keunggulan prestasi, fungsi serta rekaan.

Menurut Pengurus Negara Perniagaan Komersial Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, inisiatif pengenalan model itu terdorong oleh permintaan pasaran yang menginginkan produk komputer dengan fungsi perniagaan.

''Melihat kepada trend keperluan tersebut, kita telah mengenalpasti peluang penciptaan komputer riba dengan fungsi terbaik dan mobiliti sepenuhnya,'' jelasnya pada pelancaran model itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pembangunannya dipacu menggunakan pemproses AMD Athlon Neo untuk jaminan prestasi maksimum ketika melaksanakan pelbagai tugas.

Bagi keselesaan paparan, model itu didatangkan bersama skrin definisi tinggi (HD) bersaiz 11.6 inci.

Tidak cukup dengan itu, pengguna turut akan berpuas hati dengan penampilan papan kekunci bersaiz penuh serta pad sesentuh pelbagai untuk kemudahan navigasi.

Sistem operasi Windows 7 pada komputer riba tersebut pasti akan melengkapkan kecemerlangan fungsinya secara menyeluruh.

Untuk aplikasi mobiliti pula, model berkenaan disempurnakan dengan capaian sambungan wayarles, Wi-Fi, 3G dan juga Bluetooth.

ThinkPad X100e kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga RM1,699. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman web www.lenovo.com.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan