Rabu, April 07, 2010

TouchBerry mampu milik



KOLEKSI Siri TouchBerry Pro dijual pada harga yang berpatutan dari RM299 hingga RM599 namun dilengkapi dengan pelbagai aplikasi canggih termasuk TV mobil.


SUDAH menjadi trend masa kini, semua orang mahukan telefon bimbit yang lengkap dengan kamera, pemain muzik, pemain video, dual SIM dan sokongan rangkaian interaktif sosial Facebook serta tidak ketinggalan telefon TV sebagai bonus tambahan.

Tetapi, bagi sebuah telefon bimbit yang lengkap dengan pelbagai aplikasi canggih itu sudah pasti faktor harga yang mahal membuatkan ramai tidak mampu memilikinya.

Senario itu bakal berubah sepenuhnya dengan pengenalan Siri TouchBerry Pro daripada eTouch Mobile yang tampil dengan rangkaian telefon bimbit bersama fungsi dan reka bentuk profesional tetapi pada harga mampu milik.

Menurut Pengarah Urusannya, Siew Ai Fern, rangkaian Siri TouchBerry Pro bukan sahaja tampil dengan reka bentuk menarik, tetapi pada harga maksimum RM599, pemiliknya mampu memiliki semua kelebihan yang ada pada telefon bimbit jenama lain yang dijual pada harga ribuan ringgit.

"Siri TouchBerry Pro terdiri daripada lima buah telefon bimbit pada rangkaian harga RM299, RM399, RM499 dan RM599 sahaja, tetapi kelebihan yang ditawarkan setanding jenama lain dalam pasaran yang jauh lebih mahal.

"Kesemua rangkaian berharga RM399 hingga RM599 juga dilengkapi dengan telefon TV yang merupakan nilai tambah kepada produk keluaran eTouch Mobile selain kesemua rangkaian dilengkapi dual sim," katanya.

Ai Fern berkata, pemilik Siri TouchBerry Pro boleh menonton televisyen di mana-mana sahaja tidak kira sama ada ketika mereka tersekat dalam kesesakan jalan raya atau sedang menunggu bas.

"Pada harga yang sangat berpatutan eTouch sesuai untuk semua lapisan masyarakat tidak kira pelajar, golongan pertengahan atau profesional.

"Kami mahu mengembangkan jenama ini dan meletakkannya sebagai jenama global Malaysia yang menjadi pilihan utama rakyat negara ini," tambahnya.


AI FERN menunjukkan rangkaian TouchBerry keluaran eTouch Mobile.


Kata Ai Fern lagi, dengan kelebihan dual SIM, pemiliknya tidak perlu bersusah payah menyediakan dua buah telefon bimbit untuk dua nombor telefon yang berbeza.

"Dengan hanya satu telefon bimbit, ia mampu mengaktifkan dua talian serentak. Ini akan memudahkan sesiapa sahaja terutama bagi mereka yang suka mengembara," katanya.

Siri TouchBerry

Rangkaian Siri TouchBerry Pro diterajui oleh TouchBerry 707 Pro yang berharga RM599. Ia mempunyai skrin TFT QVGA 2.4 inci, dual SIM, telefon TV, Wi-Fi kelajuan tinggi, Facebook, pemain MP3, radio FM dan pemain video MP4.

Selain itu, ia juga dilengkapi papan kekunci Qwerty, kamera 2.0 megapiksel, bluetooth serta menyokong MSN dan slot kad MicroSD.

Bagi siri TouchBerry 608 Pro (RM499), ia dilengkapi skrin QVGA 2.2 inci, dual SIM, telefon TV, Facebook, papan kekunci Qwerty, pemain muzik MP3, pemain video MP4 dan 3GP, dua kamera, bluetooth serta menyokong MSN dan slot kad MicroSD sehingga lapan gigabit.

TouchBerry 626 Pro (RM499) pula ditawarkan dengan skrin TFT 2.2 inci dengan lensa TP, dual SIM, telefon TV, papan kekunci Qwerty, skrol bebola runut, dua kamera, bluetooth, pemain muzik MP3 dan video MP4, radio FM serta menyokong MSN dan lot kad MicroSD sehingga empat gigabit.

Seterusnya, siri TouchBerry 505 Pro (RM399) mempunyai skrin QCIF 2.0 inci, dual SIM, telefon TV, papan kekunci Qwerty dan bebola runut serta kamera dan radio FM.

Akhirnya, siri TouchBerry 303 Pro (RM299) ditawarkan dengan tiga pilihan warna penutup belakang sama ada hitam, kuning atau merah jambu. Ia dilengkapi skrin 2.0 inci, dual SIM, kamera, pemain muzik MP3 dan video MP4 serta 3GP.

Siri itu juga dilengkapi bluetooth, slot kad MicroSD dan menyokong MSN dan Facebook.

Menurut Ai Fern, eTouch Mobile juga tampil dengan rangkaian telefon bimbit biasa iaitu eTouch D8 (RM99), eTouch D9 (RM199), eTouch D200 (RM239), eTouch D35 (RM299), eTouch TD200 dan eTouch TD300 (RM399) dan eTouch X88 (RM499).

Dengan setiap pembelian telefon bimbit eTouch, pembeli berpeluang memenangi percutian untuk menyaksikan World Cup di Afrika Selatan.

"Kesemua rangkaian telefon bimbit biasa eTouch dilengkapi skrin berwarna dan kamera kecuali siri eTouch D8 (RM99) yang tidak mempunyai kamera," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan