Isnin, Oktober 18, 2010

Televisyen hibrid pertama di dunia



Pengasas dan Presiden Sezmi, Phil Weiser memberikan penerangan mengenai televisyen hibrid di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Hampir semua individu 'wajib' mempunyai televisyen, telefon bimbit dan komputer sama ada komputer meja atau komputer riba tetapi masalahnya kita tidak boleh menggunakannya secara serentak.

Jawapannya ada pada televisyen hibrid yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Justeru YTL Communications Sdn. Bhd. telah menandatangani Perjanjian Perkhidmatan dan Lesen dengan pereka televisyen generasi akan datang, Sezmi Corporation baru-baru ini.

Perjanjian berkenaan memberikan YTL Communications hak menyusun atur perkhidmatan televisyen hibrid di negara ini dan Asia Pasifik serta menjadikan negara sebagai pemimpin operasi hub bagi media digital dan penyiaran televisyen di rantau ini.

Ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia melancarkan perkhidmatan televisyen hibrid tanpa wayar akhir tahun depan.
Televisyen hibrid bakal membawa kandungan penyiaran dan Internet terbaik dalam peralatan yang sama menerusi rangkaian tanpa wayar bagi memberikan pelanggan yang terbaik dengan Sezmi sebagai rakan kongsi.
Kini ia telah dikomersialkan di Amerika Syarikat (AS), salah satu pasaran terbesar dunia bagi teknologi dan perkhidmatan berkenaan.

Pengarah Urusan YTL Corporations Berhad dan Pengerusi Eksekutif YTL Communications, Tan Sri Dr. Francis Yeoh berkata, pihaknya teruja untuk membawa faedah dan perubahan positif dalam kehidupan kepada rakyat negara ini.
"Ini merupakan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu membangunkan negara dengan pendapatan tinggi," katanya pada majlis prapelancaran perkhidmatan televisyen hibrid tanpa wayar pertama di dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Francis berkata, pihaknya berharap dapat membawa Lembah Silikon ke s ini dengan perkhidmatan televisyen hibrid tanpa wayar dan yakin Sezmi akan menjadi rakan kongsi terbaik dan merealisasikannya.
"Bersama-sama Sezmi, kami akan memberikan rantau Asia pengalaman hiburan dengan membawa pengalaman televisyen dan Internet terbaik dalam satu kotak.
"Ini akan memberikan inspirasi rakyat negara ini untuk menerima Internet pada kelajuan tinggi selaras dengan inisiatif kerajaan dalam program Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBBI)," katanya.
Menerusi perkongsian berkenaan YTL Communications merancang mengubah Malaysia kepada negara fully converged wireless quadruple play pertama dan akan menjadikan negara tanpa wayar termaju di dunia.

Perkhidmatan yang dibawa oleh YTL dan Sezmi memerlukan peralatan, perkakas, kandungan dan aplikasi baru yang akan dibangunkan dan dibuat di negara ini dan memberikan peluang pekerjaan bagi bidang kreatif , profesional dan teknikal yang menjana pendapatan lebih tinggi.
"Apabila kami melancarkan perkhidmatan Internet mudah alih 4G bulan depan, ia merupakan sesuatu yang sangat memberangsangkan.

"Kami akan memberikan Malaysia perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar dual-play dan suara pada rangkaian 4G tetapi ini hanyalah permulaan dan akan terus berkembang bagi memberikan pengalaman terbaik bagi pelanggan 4G selain perubahan besar kepada negara ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sezmi Corporation, Buno Pati berkata, dalam negara membangun televisyen lebih signifikan berbanding dengan komputer.

"Ini merupakan cara terbaik bagi menyalurkan jalur lebar kepada setiap individu menerusi skrin televisyen yang disambungkan kepada rangkaian tanpa wayar yang dapat membawa kandungan HD berkualiti tinggi dan Internet bersama-sama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan