Jumaat, Jun 19, 2009

Perisian computer yang perlu ada



FTEC SmartBook menawarkan penyelesaian digital
terhadap kanak-kanak
untuk mempelajari al-Quran.

Peredaran masa jelas menyaksikan proses penyepaduan digital merevolusikan penggunaan perkakas analog menjadi lebih efisien dan cekap berbanding sebelumnya, yang membantu meringkaskan proses kehidupan manusia sejagat.

Terkini, dalam usaha menyematkan minat serta kemudahan pembelajaran al-Quran di kalangan kanak-kanak, Intel Electronics (M) Sdn. Bhd., bersama-sama FTEC Resources Berhad telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan FTEC SmartBook yang hadir dengan perisian al-Quran Digital yang dibangunkan oleh Al-Tasneem Sdn. Bhd.

Penyelarasan perisian khas terhadap model netbook (komputer Internet) FTEC SmartBook itu merupakan kaedah alternatif serta penyelesaian digital bagi kanak-kanak untuk membaca dan mengaji al-Quran .

Menerusi kehadiran perisian khas itu, diyakini proses mempelajari dan membaca al-Quran dapat dilakukan dengan mudah, interaktif dan menarik.

Ibu bapa yang mahu anak mereka mula belajar al-Quran sejak kecil akan mendapati penyelesaian semua dalam satu dan mampu dimiliki.

FTEC SmartBook yang bersaiz kompak dan ringan itu bukan sahaja amat mudah dibawa, malah ia turut dipercayai tahan lasak kerana ia dilengkapi dengan papan kekunci kalis air

Selain itu, penerapan aplikasi ringkas terhadap komputer tersebut turut membolehkan golongan sasar untuk mengendalikannya dengan mudah.

Dalam pada itu, kanak-kanak turut mampu menjadikan komputer tersebut sebagai salah satu kemudahan bantuan belajar kerana ia turut didatangkan dengan pelbagai perisian pendidikan.

Antara keistimewaannya, al-Quran Digital itu menyediakan audio bacaan seluruh al-Quran, terjemahan penuh al-Quran ke dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab, selain rakaman laungan azan oleh muazin terkenal dari Arab Saudi dan Mesir.

Dengan rakaman bacaan ayat demi ayat, perisian ini juga membolehkan kanak-kanak menghafal dan melafazkan ayat al-Quran menggunakan daya ingatan.

Usaha sama antara Intel, FTEC dan Al-Tasneem ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan lagi penggunaan model baru bagi netbook berasaskan pemproses Intel Atom.

Secara umumnya, netbook direka bentuk untuk memudahkan penggunaan Internet secara mobiliti dan urusan komputer asas seperti melayari Internet, menghantar dan menerima emel.

Menurut Pengurus Negara, Jualan dan Pemasaran, Intel Malaysia, Ryaz Patel, Intel berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada usaha untuk menyediakan penyelesaian serta kemudahan mempelajari al-Quran khusus bagi kanak-kanak.

''Penggunaan netbook sebagai alat mengaji al-Quran bukan sahaja mampu mencetus minat kanak-kanak terhadap al-Quran tetapi juga mendedahkan mereka kepada penggunaan komputer sejak dari kecil,'' katanya ketika majlis pelancaran komputer tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini komputer tersebut boleh didapati di gedung Courts Mammoth dan FTEC di seluruh negara pada harga permulaan RM1,399.


Abang Tuah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan