INFINITI
Peta Google Malaysia
Menemui anda dengan akses carian Internet yang lebih mudah dan yang paling penting, berjiwa Malaysia.
PADA pertengahan Mei lalu, pengguna enjin carian Internet, Google dikecewakan dengan masalah teknikal yang menyebabkan perkhidmatannya tergendala hampir sejam. Tempiasnya bukan hanya dirasai oleh pengguna di Malaysia, malah di Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara lain.
Orang ramai tidak dapat mengakses laman carian kerana penyambungannya yang amat perlahan. Syarikat enjin carian Google yang beribupejabat di California, AS mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi. Gangguan itu dipercayai berpunca daripada salah satu sistem Google yang mengalami masalah lalu melencongkan laluan web ke Asia sekali gus mencetuskan kesesakan.
Bagaimanapun, seminggu sebelum itu Google Inc. membawa berita baik kepada warga Malaysia apabila ia melancarkan secara rasmi laman Google Maps Malaysia. Lebih dikenali sebagai Peta Google Malaysia, krisis yang berlaku langsung tidak meninggalkan kesan kepada pengguna Malaysia tegar Internet.
|
|
Salah seorang pengguna yang menggunakan perkhidmatan carian tempatan tersebut ialah Teoh Kar Yeong atau KY yang bertindak sebagai blogger pada masa lapang. "Saya mengetahui tentang Peta Google Malaysia ketika melakukan pencarian di laman utama Google dan tidak menyangka ia begitu dinamik dan mantap," kata pegawai Informasi Teknologi (IT) sepenuh masa ini.
Peta peribadi
Sambil mengakses Peta Google Malaysia hampir setiap hari dalam seminggu, KY meminati ciri navigasi dan pencarian jalan sesebuah lokasi atau bangunan.
Beliau yang sebelum ini pernah bergantung kepada servis peta dalam talian yang lain kini sudah pun mencipta empat buah peta peribadi. Petanya itu, dapat membantu pelayar mengesan 200 tempat menarik termasuk ulasan restoran yang mahu dikunjungi.
"Lagipun, laman blog saya mengupas tentang topik makanan, pengembaraan dan kehidupan seharian," katanya.
Peta Google Malaysia menyediakan satu platform khusus kepada warga Malaysia untuk mencari informasi berbentuk kedudukan geografi sesuatu tempat atau kawasan.
Sekiranya anda menaipkan nama sesebuah jalan raya, anda bukan sahaja berpeluang melihat imej satelit tempat itu tetapi memperoleh ketepatan jarak dan masa.
Percuma dan mudah dikendalikan, khidmat ini boleh dieksploitasi mengikut kesesuaian masing-masing sama ada daripada komputer peribadi atau meja dan telefon bimbit.
Dianggarkan 15 juta pengguna Malaysia dapat mengembangkan lagi sektor kepenggunaannya dengan hanya menaip kata kunci dalam ruang carian.
"Komprehensif dan mudah mencari sumber pada masa sebenar, Peta Google Malaysia selangkah ke hadapan dalam menyediakan bahan-bahan maklumat yang diperlukan dalam kehidupan seharian sama ada di rumah, tempat kerja atau semasa berada di luar," jelas Pengurus Produk, Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey ketika ditemui pada majlis pelancarannya baru-baru ini.
"Sambil menayangkan teks dalam bahasa Melayu, ia juga boleh dibaca dalam bahasa Cina dan Tamil selain Inggeris. Masyarakat tempatan dan pelancong juga pada masa yang sama digalakkan supaya menyumbang dokumen berbentuk teks, gambar hinggalah klip video," tambahnya yang membincangkan kemesraan Peta Google Malaysia.
Syarikat gergasi carian Internet, Google yang bangga dengan gelaran jenama pertama di dunia bernilai AS$100 bilion, melabur di Malaysia bagi tujuan menjadikan produknya berjiwa tempatan.
Ia sudah pun dipraktikkan di negara-negara Asia Pasifik seperti Jepun, Korea, Hong Kong, India, Taiwan, Australia dan New Zealand.
Jalan raya
Sehingga sekarang, terdapat beratus ribu orang perseorangan dan organisasi, sama ada besar atau kecil, berdaftar untuk mempromosikan perniagaan atau mencadangkan tempat membeli-belah, dilawati, tayangan filem di pawagam berdekatan dan banyak lagi. Jumlah ini meningkat pada setiap jam.
Antaranya ialah Super Pages, KLue, iProperty.com Malaysia dan Virtual Malaysia. Setiap satu mempunyai kelebihan dari segi pengumuman acara atau program yang berlaku di sekitar negara, analisis tentang hartanah untuk dibeli atau disewa, tempat melepak dan sebagainya.
Ketua Pegawai Eksekutif Super Pages, Song Hock Koon berkata, dengan kerjasama bersepadu yang diwujudkan antara kedua-dua pihak, pengguna Peta GoogleMalaysia akan menerima sekurang-kurangnya 100,000 senarai perniagaan yang disediakan oleh syarikatnya. Selain maklumat alamat dan nombor telefon, turut disertakan ialah lokasi dan cara untuk ke tempat tersebut.
Perkara sama yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Virtual Malaysia, Kok Chun Yan; Ketua Pegawai Eksekutif iProperty.com Malaysia, Ken Tsurumaru dan Ketua Pegawai Eksekutif KLue, Adrian Yap. Mereka menghargai keberkesanan teknologi yang digunapakai.
"Kami memberi idea untuk menambahkan lagi rangkaian klien yang berpotensi bagi memperkemaskan lagi mutu dan kualiti," kata Ketua Pemasaran, Google Asia Tenggara, Derek Callow.
Secara amnya, peta Google di peringkat dunia berjaya mengkhusus data jalan raya yang terperinci di lebih dari 100 buah negara.
Menariknya ialah 20 juta peta mengenai sesebuah jalan raya itu dimasukkan sendiri oleh pengguna dari serata dunia.
Sebanyak 150,000 laman dikatakan masih aktif menggunakan peta API. Dalam masa sejam, lebih 10,000 pembetulan dan pengubahsuaian dilakukan ke atasnya.
Jika anda masih belum mengenali dan mencuba khidmat ini, segera ke laman http://maps.google.com.my hari ini.
Jad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan