MICROSOFT mengumumkan sistem operasi Windows Mobile 6.5 terbaru bagi telefon pintar yang dikatakan 20 peratus lebih pantas berbanding sistem sebelum ini.
Ketua Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Yasir Yousuff, menjangkakan rakan kongsinya melancarkan lebih 30 telefon yang menggunakan keupayaan Windows Mobile 6.5.
"Pengguna perlu menyedari Windows Mobile 6.5 diperbaharui dengan keupayaan melayari Internet lebih pantas sesuai peredaran perkembangan yang menuntut komunikasi pantas," katanya.
Menurutnya, pengguna akan mendapat manfaat terutama ketika mereka menggunakan laman web sosial seperti Facebook, MySpace, YouTube dan sebagainya.
"Kami mahu pengguna berasa kepantasan berhubung dengan orang lain dan mendapatkan maklumat penting secepat mungkin yang mempengaruhi hidup serta kehidupan," kata Yasir.
Pelancaran sistem operasi Windows Mobile 6.5 itu juga disusuli dengan dua perkhidmatan baru termasuk fungsi 'backup' secara 'online' dan pembelian aplikasi.
Menerusi aplikasi percuma My Phone yang disediakan itu, semua maklumat dan data dalam telefon pintar pengguna kini boleh disimpan terus ke pelayan sebagai salinan (backup) termasuk hubungan, teks temujanji, gambar, data dan maklumat kerja sekiranya ia hilang atau musnah.
Bagi melengkapkan penggunaan Windows Phone berdasarkan cita rasa pengguna, Microsoft menerapkan pelbagai keperluan dan aplikasi unik dalam Windows phone Custom Theme Creator yang boleh dilayari di laman web www.windowphone.com/theme
"Setakat ini, lebih 246 aplikasi dengan 15 antaranya ditawarkan secara percuma kepada pengguna Windows Mobile 6.5," jelas Pengurus Program Mudah Alihnya, Yap Chun Wei.
Kepantasan sistem operasi itu juga dipertingkat bagi memperbaiki pengalaman menggunakan Windows Live, khususnya untuk aplikasi What's New Feed dan perkongsian gambar ke rangkaian sosial.
Antara telefon yang beroperasi dengan Windows Mobile 6.5 termasuk Acer beTouch E100, E101, E220, neoTouch, Garmin Asus nuvifone M20 dan HTC Snap TouchPro2, Touch Diamond2 serta Touch2.
Selain itu, LG GM730 dan LG GM550 serta Samsung Omnia II, Omnia Pro B7320 dan PRO B7330 turut mendapat sentuhan sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan