Jumaat, November 26, 2010

Nokia E7 Hands-on




1. Dalam majlis Nokia World 2010 yang dianjurkan di London pada 14hb September 2010 yang lalu (hari Selasa), Nokia secara rasminya telah mengumumkan beberapa buah peranti yang dikuasakan oleh sistem operasi Symbian^3 termasuklah model E7-00 iaitu sebuah telefon pintar generasi baru yang digelar sebagai “Communicator” generasi baru.
2. Melihat rekabentuknya yang seakan-akan model Nokia N8, kita dapat saksikan disini bahawa Nokia telah menggunapakai falsafah rekabentuk baru kerana rupa E7-00 saling tidak tumpah seperti N8 dengan ditambah papan kekunci QWERTY serta butang “Menu” yang diletakkan di bahagian tengah berbanding dengan N8 di sebelah tepi bahagian bawah skrin.
3. Para pembaca setia Blog Symbian Malaysia sudah tentu pernah membaca berita mengenai sebuah prototaip, dan ia kini telah diumumkan secara rasmi sebagai E7-00.
4. Antara kelebihan E7-00 yang paling ketara ialah skrinnya yang bersaiz 4 inci serta menggunakan teknologi AMOLED. Nokia juga meletakkan kepercayaan terhadap satu teknologi skrin baru yang dipanggil “Clear Black Display (CBD)” untuk membolehkan paparan skrin E7-00 jelas dan terang walaupun berada dibawah sinar terik mentari.

5. Papan QWERTY 4 barisnya juga satu keperluan yang amat berguna serta satu ciri tradisi keluarga Nokia Communicator selama ini. Dengan paduan skrin sentuh 4 inci serta papan QWERTY yang selesa digunakan, E7-00 bakal menjadi satu peranti premium untuk pengguna-pengguna yang mementingkan kecanggihan serta keanggunan.

6. Sekilas langsung, berikut adalah spesifikasi ringkas Nokia E7-00 :
- Dikuasakan oleh sistem operasi Symbian^3
- Memiliki storan dalaman 16GB
- Skrinnya menggunakan teknologi AMOLED serta “capacitive” dan untuk kali pertama dalam sejarah Nokia, ia juga menggunapakai teknologi CBD (Clear Black Display).
- Skrinnya juga agak besar, iaitu sebesar 4 inci dan mampu memaparkan 16 juta warna
- Kompas (magnenometer)
- Badan diperbuat dari aluminium (anodised aluminium), sama seperti Nokia N8.
- Keyboard QWERTY 4 baris menggelongsor (seperti N97 & N97 mini)
- Bluetooth 3.0
- HDMI
- Lubang 3.5mm untuk Audio dan Video (ada TV-Out)
- USB On The Go
- GPS dan aGPS
- FM Radio
- WiFi, GPRS, EDGE, 3G, HSDPA, HSUPA
*** Sila rujuk di laman Nokia Malaysia untuk spesifikasi penuh.

7. Berikut pula dimaklumkan beberapa perkara yang agak kurang syiok berkenaan E7-00 :
- Tiada slot microSD
- Kamera hanya 8 megapiksel
- Tiada lampu flash Xenon
- Tiada lensa Carl Zeiss
- Tiada FM Transmitter (FM Transmitter amat penting untuk mendengar audio kegemaran di dalam kereta, seperti podcast atau album Helloween terbaru!)
- Rekabentuk papan kekuncinya memang menarik, tetapi dengan sisi tepinya yang agak terkeluar, saya rasa agak kekok juga untuk digunakan nanti.
- Baterinya hanya berkapasiti 1200 mAH dan diletakkan didalam badan E7-00. Agak payah untuk dikeluarkan. Sepatutnya, untuk sebuah model Communicator, ia hendaklah menggunakan bateri yang lebih besar kapasitinya iaitu sekurang-kurangnya 1500 mAH seperti Nokia 9500 dan juga E90.
- Walaupun skrinnya bersaiz 4 inci dan boleh dikatakan agak besar, tetapi resolusinya hanyalah nHD (640 x 360), sama seperti N8. Sepatutnya ia boleh dijadikan resolusi tinggi iaitu 800 x 480 seperti Nokia N900.


8. Nokia E7-00 dirancang akan berada dipasaran seawal penghujung suku ke-4 tahun 2010. Mungkin dalam bulan Disember 2010.
9. Harga anggarannya ialah sekitar RM2199 apabila berada dipasaran kelak. Ini hanya harga anggaran. Harga sebenarnya hanya akan diketahui nanti apabila ia sudah dikeluarkan dipasaran.





Apa sebenarnya kekuatan bala tentera Symbian^3 ini?

Cuba lihat sendiri kemudahan yang disertakan dan bandingkan pula dengan Android dan iOS:

  1. Boleh disambungkan terus kepada pemacu mudah-alih USB seperti ‘pendrive/usb-disk’ dan pemacu cakera keras (Hard-disk). Setelah disambungkan, pengguna bebas untuk memindahkan fail dari telefon ke ‘pendrive/harddisk’ dan sebaliknya

  2. Boleh disambungkan terus kepada televisyen definisi tinggi (HD) pada nisbah 16:9 (wide) dengan port HDMI yang terbina pada telefon.
  1. Siap dengan kejuruteraan bunyi ‘Dolby-Digital’ dan menyokong siaran 5.1 pada sistem pembesar suara (stereo-system) sepertimana pengalaman anda menonton wayang gambar di pawagam.
  1. Sistem Operasi yang telah dipermajukan dan sangat efisien menggunakan kuasa bateri. Kuasa bateri boleh mencecah hari ke-3 dalam penggunaan biasa dengan satu kali cas sahaja.

  2. Laman web dan blog yang menggunakan teknologi Adobe Flash 10 dapat dilayari dengan penuh pada pelayar web yang terbina dalam Symbian^3! Ini bermakna Youtube, Vimeo, MegaVideo dan lain-lain laman web berteknologi flash boleh dinikmati pada skrin telefon tanpa mengharapkan laptop anda.

  3. Menggunakan skrin piawai pada nisbah 16:9 WideScreen sejak Symbian^1 lagi. Ini menyebabkan video berdefinisi tinggi dapat dimainkan dengan tajam dan dipaparkan dalam skrin penuh.





Dentuman multimedia Edifier




SISTEM audio ini direka khas untuk memberi kepuasan permainan video, mendengar muzik dan menonton video.


PERKEMBANGAN teknologi membuatkan semakin ramai pengguna Internet menghabiskan masa di depan komputer untuk mendapatkan maklumat dan hiburan dari pelbagai saluran yang ada.
Bagi yang mementingkan kepuasan, mendengar muzik atau menonton video pastinya tidak lengkap tanpa set multimedia yang baik. Satu daripada aksesori komputer terpenting pada masa kini adalah pembesar suara.
Dipadankan dengan teknologi audio dan video bina dalam (yang ada pada komputer), pembesar suara yang baik mampu memberikan pengalaman multimedia yang mengasyikkan. Perbandingannya mungkin seperti menonton televisyen biasa dengan menonton melalui set tayangan rumah (home theater).
Namun untuk mendapatkan sistem audio yang memuaskan hati bukan sesuatu yang mudah kerana beberapa kriteria perlu dipertimbangkan, apatah lagi dengan himpunan jenama yang semakin berlambak di pasaran.
Edifier, jenama pembesar suara multimedia antarabangsa merupakan antara yang popular dan dipercayai di negara ini. Ia menawarkan pelbagai kategori produk yang menjamin kepuasan bunyi kepada penggemar muzik, permainan video dan filem.
WOW! kali ini memilih dua produk kegemaran jenama itu yang mempunyai penyampaian audio jelas dan muktamad. Bagi yang masih mencari-cari pelengkap set multimedia di rumah, Edifier S550 dan IF 360 mungkin berbaloi untuk dicuba.
Edifier S550
PEMBESAR suara lima saluran (5.1) berkuasa 280 watt dengan subwoofer berukuran 10 inci ini menawarkan pengalaman bunyi keliling hebat yang pasti mengurangkan waktu tidur penggemar permainan video atau filem.
Ia merupakan antara model terbaik di antara model-model MediaPro keluaran Edifier. Sistem audio dengan subwoofer gergasi bersama lima pembesar suara satelit ini direka untuk keselesaan semua peringkat pendengaran.
Satu daripada kelebihan pembesar suara berteknologi radiator pasif bunyi ini adalah penghasilan kesan bunyi yang jelas dan tepat pada apa sahaja jenis muzik dan peringkat kederasan bunyi. Dengan reka bentuk gergasi seperti itu, ia semestinya cukup untuk menggegarkan seluruh isi rumah pada kederasan maksimum.
Jaminan ketahanan dan kualiti pembinaan produk ini adalah kotak-kotak pembesar suara yang dibina menggunakan kayu MDF. Selain menghasilkan bunyi yang berkuali tinggi, ia juga mengurangkan kesan getaran pada permukaan yang merimaskan telinga.
Berbeza dengan kebanyakan sistem yang menghasilkan dentuman bass secara berlebihan, keseimbangan bunyi bass dan treble yang diadun pakar audio Phil Jones menghasilkan bunyi yang tepat dan seimbang. Begitu juga pada penyelerasan stereo untuk kepuasan pendengar muzik.
Selain dipermudah dengan kabel penyambungan kotak pembesar suara satelit yang panjang untuk mendapatkan kesan bunyi sinemati, kawalan turut dipermudah dengan dua fungsi kawalan iaitu panel kawalan pelbagai fungsi dan alat kawalan tanpa wayar.
Panel kawalan pelbagai fungsi yang dilengkapi penyelarasan digital seperti kawalan bunyi, bass, treble, 5.1 dan stereo dipaparkan pada skrin LCD 2.5 yang disambung pada subwoofer manakala alat kawalan jarak jauh disediakan untuk mengawal sebahagian fungsi yang sama.
Meskipun tidak menyokong teknologi bunyi keliling terkemuka seperti Dolby Digital II dan EAX, penggunaan kad bunyi yang menyokong fungsi (5.1) cukup untuk memberi kepuasan audio sebenar khususnya di dalam bilik bersaiz kecil dan sederhana.
HARGA: RM1,299






Tiada ulasan:

Catat Ulasan